PRK DUN Mahkota: Pilih biru ‘ori’, tolak biru ‘palsu’

PETALING JAYA: Hari ini rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan memilih antara biru asli dengan palsu, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau yakin bahawa pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota bijak untuk memilih wakil rakyat yang berwibawa seperti calon yang diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) iaitu Syed Hussien Syed Abdullah.

“Kita yakin rakyat tahu mana satu biru original. Syed Hussien memancar wajah biru asli. Dia adalah permata.

“Syed Hussien simbol kesungguhan UMNO memenuhi apa yang rakyat mahu. Energetik dan berwawasan. Kemenangannya melengkapkan kerajaan maju Johor yang didukung oleh barisan orang muda berprestasi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Puad turut memperlekehkan tindak-tanduk Perikatan Nasional (PN) yang serba-serbi tidak lurus dengan tindakan termasuk mempergunakan aktivits politik seperti Isham Jalil dan Badrul Hisham Shaharin untuk berkempen.

“PN mendokong kepalsuan. Termasuk cuba mendirikan kerajaan bilangan palsu. Apa lagi guna tenaga kempen taraf racun makhluk perosak seperti Isham Jalil dan Chegu Bard,” katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas, dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Allahyarham yang mewakili BN menang dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 5,166 undi.

PRK DUN Mahkota ialah PRK keempat tahun ini selepas PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor, PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan).