AMK Johor: Kemenangan BN bukti rakyat percaya Kerajaan Perpaduan

JOHOR BAHRU: Kemenangan Syed Hussein Syed Abdullah adalah bukti jelas sokongan rakyat terhadap konsep perpaduan yang diterajui oleh Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Ketua Penerangan AMK Johor, Ezzham Aizzil Abu Hanifah, mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota yang baharu mewakili jentera Barisan Nasional atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota.

Katanya, kemenangan cemerlang itu bukti sokongan padu rakyat terhadap kemampuan Kerajaan Perpaduan untuk mempimpin dan memenuhi keperluan rakyat.

“AMK Johor menyifatkan keputusan PRK ini sebagai tanda keyakinan rakyat terhadap kestabilan politik dan kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kami percaya rakyat lebih memilih perpaduan dan kestabilan berbanding politik perpecahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, AMK Johor juga menegaskan bahawa keputusan ini menggambarkan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan Kerajaan Perpaduan untuk memimpin dengan adil dan membawa kemajuan inklusif.

Kemenangan ini juga dianggap sebagai tanda aras penting untuk masa depan politik di Johor dan Malaysia.

Ezzham Aizzil turut menyeru rakyat untuk terus memberi sokongan kepada usaha perpaduan, dengan harapan untuk memastikan masa depan yang lebih cerah bagi negeri Johor dan Malaysia.