Khabib tenang di puncak dunia dengan Islam di dada

BEKAS juara dunia lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC), Khabib Nurmagomedov berkongsi tentang peranan besar Islam dalam membentuk kehidupannya.

Dia yang tiba di Malaysia awal pagi tadi berkata kehidupannya telah dirancang oleh ibu bapa dengan asas Islam yang sangat kukuh. 

“Inilah sebabnya apabila ujian datang tanpa saya jangka, segalanya menjadi lebih mudah untuk saya tangani,” ujar Khabib dalam wawancara bersama pengacara terkenal, Alif Satar di WTCKL pada Ahad.

Memetik Flash Sukan, Khabib berkata asas Islam banyak membantunya sepanjang perjalanan menuju puncak dunia. 

“Ketika saya dinobatkan sebagai juara dunia, segala tanggungjawab jatuh di bahu saya, namun hanya dengan Islam saya dapat mengendalikannya dengan tenang dan mudah,” jelasnya lagi.

Digelar sebagai ‘The Eagle’, Khabib menutup kariernya dengan penuh gemilang, meninggalkan rekod sempurna tanpa kekalahan dengan 29 kemenangan. 

Dalam kenyataan sama, Khabib turut mengalu-alukan kehadiran Johan Ghazali Zulfikar sekiranya sensasi Muay Thai negara itu mahu ‘beralih angin’ berlatih di gimnasiumnya di Dagestan, Russia.

Anak kelahiran Dagestan ini merebut gelaran Juara Lightweight UFC selepas menundukkan petarung Amerika, Al Iaquinta, pada tahun 2018.

Khabib berjaya mempertahankan tali pinggang juara sebanyak tiga kali, termasuk kemenangan besar ke atas bintang Ireland, Conor McGregor, serta dua petarung hebat Amerika, Dustin Poirier dan Justin Gaethje, sebelum memutuskan untuk bersara pada 2021.