LABUAN: Lebih 100 sukarelawan berganding bahu membersih dan memperindah Pulau Rusukan Besar hari ini demi menjadikan lokasi itu destinasi pelancongan yang lebih menarik dan segar.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu disertai pelbagai pihak dan sukarelawan daripada Yayasan Sukarelawan Siswa, agensi kerajaan serta komuniti setempat.
Pelaksanaan program dilakukan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah), Dr. Zaliha Mustafa.
Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Wilayah Persekutuan, aktiviti menumpukan pembersihan perairan dan pantai serta penambahbaikan fasiliti pelancongan seperti tandas, pondok rehat, dan kafe, yang bertujuan memberi keselesaan kepada para pengunjung.
“Para sukarelawan turut memainkan peranan penting dalam mendidik pelancong mengenai penjagaan alam sekitar dan kebersihan pulau.
“Melalui usaha gigih para sukarelawan dan kerjasama erat dengan pelbagai agensi, Pulau Rusukan Besar dijangka menjadi tarikan utama bagi pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Program ini juga mencerminkan komitmen bersama dalam mengekalkan keindahan dan kelestarian pulau demi memajukan industri pelancongan di Wilayah Persekutuan Labuan.