Ulasan | Bersatu sebenarnya rugi banyak sejak berpisah dengan PH

Oleh: Dr Faiz Na’aman

KEKALAHAN besar calon Bersatu dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan PRK DUN Mahkota berturut-turut adalah isyarat jelas bahawa majoriti rakyat Malaysia pasca PRU15 (pilihanraya umum ke-15) terutamanya dari kelompok Melayu, Muslim dan Bumiputera di negara ini menolak politik 2R yang dimainkan Perikatan Nasional (PN).

Bersatu sejak berkawan dengan PAS bukan saja dianggap menjadi “underdog” tetapi “dog” dalam erti kata yang sebenarnya. Malah Bersatu sejak berpisah dari Pakatan Harapan dengan terdesaknya telah menerima watak-watak ekstrem yang dibuang atau terbuang dari UMNO dan PKR sebagai “anjing perang” mereka yang melalak di media-media sosial dan pentas-pentas ceramah.

24 jam kelompok ekstrem dalam Bersatu-PN menabur pelbagai fitnah, syak wasangka, paranoia dan provokasi sentimen 2R untuk mewujudkan situasi emosional kelompok Melayu-Islam seolah-olah negara ini huru-hara tiada Ketua Agama Islam dan kerajaan yang menjaga hak setiap rakyat melalui Perlembagaan Persekutuan.

Mereka (para provokator itu) sudah buntu idea apabila ekonomi negara makin mantap di bawah Kerajaan Madani yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa PMX telah pun diampunkan Yang di-Pertuan Agong dahulu DYMM Sultan Kelantan dan menjadi Perdana Menteri atas seruan penubuhan Kerajaan Perpaduan dari Yang di-Pertuan Agong seterusnya DYMM Sultan Pahang pasca PRU15.

Ramai ahli-ahli baru Bersatu zaman PN ini lupa dan tidak tahu bahawa kepimpinan Parti Bersatu di awal penubuhannya yang ketika itu diterajui Tun Dr. Mahathir berulang-alik melawat Datuk Seri Anwar ketika beliau masih bergelar banduan demi mendapatkan sokongan Pakatan Harapan terutamanya PKR dalam menentang Kleptokrat. Itulah maknanya jadi Banduan Terhormat.

Hilang punca

Para provokator dari Bersatu-PN yang didominasi oleh watak-watak tua buangan UMNO dan PKR itu tadi kian hilang punca kerana bertentangan dengan roh perjuangan asal Parti Bersatu yang sepatutnya membawa masyarakat Melayu menjadi lebih MODERAT melalui pemikiran pragmatik dan rasional, bukannya retorik dan sentimen seperti sikap NGO-NGO yang menunggang istilah “Ketuanan Melayu”.

Imej dan reputasi Bersatu telah “diperkosa” pula oleh mentaliti jumud dan ekstrem PAS yang kita semua sedia maklum modal mereka ialah menunggang agama dengan melaungkan slogan “Islam terancam di Malaysia” dan pesaing politik mereka dilabel “kafir harbi” atau “munafik” secara suka hati.

Ahli-ahli Bersatu sudah tenggelam dipengaruhi cara berpolitik PAS yang hanya laku di kawasan-kawasan Melayu ultra konservatif sahaja.

Sebenarnya Bersatu telah rugi banyak dan rugi besar sejak berpisah dari Pakatan Harapan (PH) dahulu.

Bersatu bukan saja kehilangan negeri-negeri yang ditadbir menteri-menteri besar mereka sebelum PRU15, malah terus jatuh menjadi pembangkang setelah itu.

Lebih menyedihkan, PAS pula mengangkat Tun Dr. Mahathir sebagai penasihat kepada 4 negeri-negeri di bawah mereka memperlihatkan kepimpinan Bersatu makin dipinggirkan.

Siapa yang untung dalam Bersatu sekarang ini jika bukan saf kepimpinan di atas yang mahu mengekalkan kedudukan mereka sama ada dalam jawatan parti atau pun sekadar bangga menjadi EXCO dalam kerajaan negeri yang didominasi oleh puak PAS?

Mereka peduli apa dengan nasib masa depan parti apatah lagi akar umbi dan pelapis muda. Calon PRK pun import dari PAS untuk Nenggiri malah untuk Mahkota pula calonnya bukan anak muda.

Saya seru kepada para pengasas, akar umbi dan pejuang tulen Parti Bersatu sejak zaman awal penubuhannya agar berhijrah lah kalian kepada PKR-PH bagi meneruskan agenda Reformasi, pembaharuan, kemajuan dan memperjuangkan integriti tanpa perlu memainkan sentimen kaum dan agama yang memecah-belahkan masyarakat majmuk negara ini yang rata-ratanya berhaluan sederhana belaka.

***Penulis adalah bekas anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan kini menjadi Ahli PKR