Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyelar tindakan yang dibuat oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yaasin yang mendakwa kerajaan hari ini sebagai kerajaan tebuk.
Menerusi kenyataannya yang dikongsikan dalam akaun Facebooknya, Muhyiddin dikatakan perlu lebih bersifat rasional dan sedar terhadap kedudukannya sebagai pihak pembangkang.
“Sepatutnya, Muhyiddin perlu terima isyarat PAS apabila tidak dilantik sebagai pengerusi SG4 yang dianggotai oleh negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
“PAS juga sudah menghantar isyarat yang jelas iaitu Muhyiddin tidak pandai ekonomi dan dia juga turut terlibat dengan kes Mahkamah.
Oleh sebab itu, PAS melantik Tun Mahathir sebagai ahli di bawah persatuan tersebut,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau juga turut mempertikaikan kenyataan Muhyiddin bahawa Presiden Bersatu itu mengakui menerima segala isyarat pengundi di Mahkota dengan berlapang dada dan bakal mengambil langkah segera bagi membaiki prestasi partinya iaitu PN.
“Isyarat yang penting adalah kepada Muhyiddin adalah ‘move on’. Tidak perlu mengungkit lagi berkenaan cukup bilangan kerusi atau kerajaan tebuk atap. Tunggu sahaja Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti,” ujarnya.
Beliau juga turut menyindir pembangkang yang dilihat lebih mengkhianati antara satu sama lain.
“Menurut Isham Jalil yang didokong dua parti pengkhianat, iaitu Bersatu yang mengkhianati UMNO dan PAS pula mengkhianati Muafakat Nasional. Jadi, itu juga merupakan isyarat penting,” katanya.
Pada Sabtu lalu, parti Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh Syed Hussein Syed Abdullah menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota dengan majoriti 20,648 undian menewaskan PN yang diwakili Mohamad Haizan Jaafar dengan hanya 7,347 undian sahaja.