Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Wang simpanan berjumlah RM141,000 milik seorang lelaki warga emas lesap selepas dia menjadi mangsa penipuan panggilan telefon pada 26 September lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pada 29 Ogos, mangsa yang bekerja sebagai pemandu teksi itu telah dihubungi nombor tidak dikenali dan suspek mendakwa mangsa terlibat dengan 16 kes jenayah.
Katanya, suspek turut mengarahkan mangsa untuk membuka satu akaun bank menggunakan nombor telefon yang diberikan dan seterusnya memindahkan kesemua wang yang dimiliki mangsa ke akaun tersebut.
“Bagaimanapun, pada Khamis lalu (26 September), mangsa telah pergi ke bank bagi membuat semakan, namun mendapati tiada lagi wang dalam akaun bank tersebut.
“Mangsa kemudiannya cuba menghubungi suspek bagi mendapatkan penjelasan, namun tidak berjaya.
“Mangsa yang mengesyaki dirinya telah ditipu telah membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Susulan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan ke atas laporan tersebut.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum sehingga 10 tahun penjara dan sebatan atau denda.
Polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati terutamanya apabila menerima panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sepanjang tiga tahun, jumlah keseluruhan yang direkodkan bagi kes-kes penipuan dalam talian adalah sebanyak RM2.8 juta dengan RM552,500 atau 20 peratus melibatkan warga emas.
Menurutnya, walaupun bilangan itu kecil berbanding kategori umur lain, namun nilai kerugian yang ditanggung golongan itu adalah tinggi, sekali gus menjadikan mereka sebagai sasaran yang berkualiti.