Oleh: Hanim Nadia
SELANGOR FC mengumumkan seorang lagi pemain import baharu akan memperkuatkan Gergasi Merah bagi mengharungi saingan musim 2024-2025.
Pemain tengah dari Croatia, Nikola Jambor, 29, menjadi pemain keempat yang dibawa masuk pasukan itu pada jendela perpindahan kedua musim ini selepas penyerang Jordan, Ali Olwan, pertahanan tengah, Mohammad Abualnadi dan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz daripada Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Selangor FC dalam kenyataan memberitahu, Nikola Jambor diumumkan secara rasmi sebagai pemain tengah baharu pasukan itu setelah Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) telah diluluskan.
Pemain berketinggian 1.90 meter itu telah memulakan karier profesional sejak berusia 19 tahun bersama kelab NK Koprivnica di negara kelahirannya.
Sementara itu, Nikola Jambor mengakui tidak berfikir panjang untuk menyertai Selangor FC selepas mendengar mengenai tawaran tersebut daripada ejennya.
“Saya ada menerima panggilan daripada ejen saya mengenai tawaran yang telah menarik perhatian penuh saya.
“Rancangan pihak kelab telah disusun dan sejajar dengan objektif serta misi saya, menjadikannya sukar untuk ditolak kerana saya benar-benar teruja untuk bersama keluarga baru ini dan bekerjasama ke arah matlamat yang sama,” ujar beliau.