Tiga maut, lima cedera dalam kemalangan tujuh kenderaan di LPT

Oleh: Shafira Aziz

BENTONG: Tiga dilaporkan maut dalam kemalangan melibatkan tujuh buah kenderaan di Kilometer (KM) 42, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di sini kira-kira pukul 3.33 pagi tadi.

Menerusi kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong, kemalangan tersebut melibatkan dua lori treler, sebuah lori 3 tan dan empat kereta.

“Disebabkan kemalangan tersebut, tiga orang mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala lima orang mangsa mengalami kecederaan dan lima orang lagi mangsa selamat.

“Kemalangan tersebut turut mengakibatkan salah sebuah lori treler yang terlibat dalam kemalangan tersebut terbakar,” kata kenyataan tersebut pada Isnin.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ridzuan Zulkafly, 40, Muhamad Zaimi Shariff, 39 dan Muhammad Azizul Fitrie Md Zairi, 23.

Operasi tersebut melibatkan seramai lapan anggota bomba dari BBP Bentong dan bantuan daripada agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Janda Baik.