Akta 852: Lebih mudah kawal pengaruh buruk pelajar – PIBG

Oleh: Syahirah Harish

PETALING JAYA: Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) secara rasmi berkuat kuasa hari ini, menandakan langkah penting dalam usaha negara untuk melahirkan generasi bebas asap rokok.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Syahmi Nordin menyatakan pandangan positif mengenai pelaksanaan akta itu dan menegaskan bahawa ia adalah langkah yang perlu untuk kesihatan masyarakat, khususnya generasi akan datang.

“Ini adalah langkah yang bijak bagi memastikan anak-anak kita membesar dalam persekitaran yang bebas daripada bahaya asap rokok.

“Dengan larangan ini, sekolah dan ibu bapa akan lebih mudah untuk mengawal pengaruh buruk ini daripada menular di kalangan pelajar. Ia juga akan mengurangkan tekanan sosial kepada pelajar yang tidak merokok kerana akses kepada produk tembakau telah disekat secara sah,” katanya.

Menurut Syahmi, akta itu turut memperkenalkan peraturan ketat yang melarang mereka yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya daripada membeli produk tembakau, bahan merokok dan peranti berkaitan merokok.

Beliau turut menekankan bahawa dengan adanya akta itu, kesedaran tentang bahaya merokok akan semakin meningkat dan negara akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran kesihatan awam yang berpunca daripada penggunaan tembakau.

Dengan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok 2024 ini, kerajaan berharap dapat membina masyarakat yang lebih sihat bermula daripada generasi muda.

Langkah ini bukan sahaja melindungi kesihatan pelajar tetapi juga mencipta masa depan yang lebih cerah tanpa pengaruh buruk tembakau.