Oleh: Haikal Tajudin
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sebulat suara mengumumkan perpisahan terhadap jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan yang sudah berkhidmat sejak Mei 2009.
Presiden Pemangku BAM, Datuk V Subramaniam, berkata jurulatih tersebut memiliki pengalaman yang luas dalam memajukan pemain-pemain badminton Malaysia.
“BAM sangat berterima kasih kepada Hendrawan atas komitmen dan dedikasinya kepada pasukan perseorangan lelaki negara.
“Pengalaman dan pengetahuannya yang luas memainkan peranan penting dalam kemajuan dan perkembangan pemain-pemain kami,” jelasnya pada Selasa.
BAM turut menyatakan bahawa, pengganti Hendrawan diumumkan pada tarikh akan datang.
Dalam pada itu, Hendrawan turut terharu kerana diberi peluang dan kepercayaan untuk menyandang jawatan tersebut.
Dia yang kini sudah berusia 52 tahun berkata, sepanjang berkhidmat sebagai jurulatih perseorangan, perjalanan kehidupannya menjadi sangat luar biasa.
“Kini sudah tiba masanya untuk saya bergerak ke depan dan suatu yang sukar saya percayai adalah apabila saya sudah bersama BAM sejak beberapa tahun lamanya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM atas kepercayaan mereka kepada saya dan saya mendoakan yang terbaik kepada pemain perseorang pada masa hadapan.
“Saya berharap, pemain akan datang akan terus maju dan menjadi pemain terbaik,” jelasnya.