Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Pempengaruh media sosial, ‘Lim Sian See’ atau nama sebenarnya Eric See To boleh dikenakan tindakan undang-undang selepas dia mendedahkan dirinya dalam podcast ‘’Yang Bakar Menteri’ bersama Rafizi Ramli, malam tadi.
Rafizi menegaskan perkara itu selepas See To mencabar beliau untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya jika penulisannya sebelum ini adalah tidak benar.
Kata See To, “Kalau saya ada tulis apa-apa yang tidak benar atau melanggar undang-undang, memesongkan fakta daripada mahkamah sila ambil tindakan terhadap saya.
“Sehingga kini tidak ada seorang pun yang lapor, tiada seorang pun yang sangkal saya tidak benar termasuk YB (Rafizi) sebab saya sediakan semua fakta ke dalamnya. Sila ambil tindakan terhadap saya jika saya salah,” katanya.
Membalas kepada hujah tersebut, Rafizi berkata, mereka yang ingin membuat laporan terhadap ‘Lim Sian See’ boleh berbuat demikian selepas dirinya mendedahkan dirinya.
“Lim (See To) beritahu dia tidak pernah diambil tindakan sebab itu saya nak dia datang hari ini kerana dia telah tanda tangan satu perakuan bahawa dia adalah Lim Sian See dengan nombor kad pengenalannya.
“Sebelum ini tidak boleh ambil tindakan sebab dia berselindung di sebalik akaun palsu, memang orang tidak boleh ambil tindakan.
“Satu Malaysia sudah tahu Lim Sian See adalah Eric See To dan mudah untuk masuk dan diambil tindakan dan buat laporan.
“Ini termasuk kalau ada hantaran-hantaran dulu sama ada orang nak saman secara sivil atau ambil tindakan jenayah, boleh diambil tindakan,” kata Rafizi membalas hujah Lim.
Perbahasan yang berlangsung hampir sejam itu menyentuh pelbagai perkara termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengiraan harga bahan api sebelum ini oleh Rafizi.
See-To yang juga bekas Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), melalui laman Facebook Lim Sian See, telah mengkritik Rafizi, yang membawa kepada pelbagai perdebatan dalam talian setiap tahun.