Oleh: Kamilia Ali
KLANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia memberi maklum balas berkenaan video yang dimuatnaik oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri di aplikasi TikTok pada 29 September 2024 (Ahad).
Menerusi satu kenyataan JKR, lokasi aduan kerosakan jalan tersebut terletak di sebuah persimpangan menghubungkan Lebuh Sultan Abdul Samad dengan Jalan Persekutuan 3 (FT03), Pelabuhan Utara dari Klang ke Northport, Pelabuhan Klang, Selangor.
“Persimpangan tersebut melibatkan projek menaik taraf jambatan merentasi Sungai Klang daripada dua lorong kepada 3 lorong.
“Penyenggaraan persimpangan tersebut kini berada di bawah seliaan kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan projek tersebut sejak awal pembinaan,” jelasnya.
Jelasnya, demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, satu laluan alternatif akan disediakan apabila kerja pengalihan utiliti bermula.
“Hasil siasatan oleh pihak JKR turut mendapati kedudukan Jadual Air Tanah (GWT) yang tinggi serta kejadian air pasang yang disusuli hujan lebat telah menyebabkan air mudah bertakung sehingga menyebabkan lapisan jalan raya mudah rosak.
“Dalam pada itu, bagi mengurangkan kebarangkalian kejadian kemalangan, pelan pengurusan trafik (TMP), penyediaan saliran sementara serta pembaikan akan dilaksanakan,” jelasnya.
JKR Malaysia memohon pemandu yang menggunakan laluan tersebut agar mematuhi peraturan lalu lintas, papan tanda isyarat serta arahan pihak berkuasa untuk keselamatan bersama.
Pada 29 September lalu, Azmizam telah memuat naik satu hantaran video di aplikasi TikTok miliknya dan menzahirkan rasa kecewa dengan kerosakan jalan di persimpangan Lebuh Sultan Abdul Samad dengan Jalan Persekutuan 3 (FT03), Pelabuhan Utara dari Klang ke Northport, Pelabuhan Klang, Selangor.
Menerusi video yang berdurasi empat minit 50 saat itu, beliau mempersoalkan pihak JKR yang tidak bertanggungjawab setelah menerima banyak aduan berkenaan kerosakan jalan di persimpangan tersebut, namun tiada tindakan yang dijalankan.
Difahamkan, akibat kerosakan jalan itu terdapat kes yang melibatkan kehilangan nyawa dan perkara tersebut diketengahkan kepada pihak JKR untuk memperbaiki jalan segera sebelum terdapat banyak lagi kes-kes lain yang berlaku lagi.
Baca juga: