Mats Deijl Tidak Lepas Syarat FIFA Wakili Harimau Malaya

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pemain pertahanan Go Ahead Eagle, Mats Deijl tidak melepasi syarat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mewakili Harimau Malaya.

Menurut kenyataan FAM, perkara itu dimaklumkan FIFA melalui surat bertarikh 25 September 2024 selepas persatuan itu mendapatkan pengesahan secara rasmi berkenaan kelayakan Deijl.

“Berdasarkan dokumentasi-dokumentasi yang telah dilampirkan didapati bahawa pemain berusia 27 tahun itu hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang beliau dan bukannya melalui datuk atau nenek sepertimana yang ditetapkan dalam syarat FIFA,” katanya.

Pada 23 September 2024, FAM telah menghantar surat kepada FIFA bagi mendapatkan pandangan FIFA mengenai status Deijl yang ingin mewakili Malaysia melalui darah keturunan moyangnya (ibu kepada datuk pemain).

Mengikut syarat FIFA, mana-mana pemain boleh mewakili sesebuah negara jika pemain tersebut memenuhi syarat seperti berikut.

“Pertama, pemain itu lahir di negara tersebut atau kedua, ibu pemain dan ayah pemain lahir di negara tersebut atau ketiga, datuk dan nenek pemain lahir di negara tersebut atau keempat, pemain itu menetap di negara tersebut melebihi tempoh lima tahun.

“Berdasarkan semakan, pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang (ibu kepada datuk pemain) yang telah lahir di Singapura pada 24 Jun 1893, yang mana Singapura merupakan sebahagian dari Tanah Melayu ketika itu,” katanya.

FAM bagaimanapun tetap berterima kasih kepada Deijl atas minat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh beliau untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia, namun ia tidak dapat direalisasikan.

“Untuk makluman, FAM juga sudah berhubung dengan beberapa pemain lain sepertimana yang dicadangkan atau dihebahkan di platform media sosial, namun setakat ini tiada yang positif terutama dari segi dokumen kesahihan pemain tersebut memiliki darah keturunan Malaysia yang melepasi syarat ditetapkan oleh FIFA,” ujarnya.

Terdahulu, Deijl telah menunjukkan minat beliau untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia dan FAM telah dimaklumkan bahawa pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia.

Deijl yang lahir di Vlaardingen beraksi di posisi bek kanan bersama kelab Liga Eredivisie, Go Ahead Eagles sejak tahun 2021 dan berjaya buat 67 penampilan selain menjaringkan empat gol.

Sebelum ini, Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin mendedahkan dua pemain berdarah warisan bakal mewakili skuad senior negara.

Dua pemain yang dinyatakan ialah Deijl dan pemain tengah St. Louis City 2, Wan Kuzain Wan Kamal.