Oleh: Hanim Nadia
KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM5.5 juta untuk kerja-kerja membaik pulih Pasar Besar Siti Khadijah yang terletak di Kelantan.
Menurutnya, kerajaan sebelum ini sudah meluluskan dana sebanyak RM1.5 juta bagi membaiki struktur konkrit merekah dan bumbung pasar itu, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan diterima RM7 juta sejak tahun lalu.
“Saya meluluskan peruntukan RM5.5 juta untuk membaik pulih pasar ini. Saya mahu isu kebersihan, tandas, bumbung dan pendawaian di Pasar Besar Siti Khadijah segera dibaiki.
“Peruntukan itu untuk keperluan seramai 1,500 peniaga di pasar ini. Jadi, Dr Hafidzah Mustakim (Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama) perlu berbincang dengan persatuan peniaga dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai kawasan mana yang mahu dimulakan dahulu,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Peniaga-Peniaga Pasar Besar Siti Khadijah di Medan Selera, Laman Siti Khadijah pada Selasa.
Anwar berkata, beliau turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memantau serta menyegerakan projek berkenaan.
“Jika projek ini perlu ditender sekali pun, ia mesti dilakukan dengan cepat. Ini kerana Pasar Siti Khadijah menjadi tumpuan orang ramai dan terdapat seramai 1,500 peniaga. Apa yang kita usahakan ini demi mengenangkan ribuan peniaga di sini,” katanya.