Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyantuni kanak-kanak yang menjadi mangsa kekejaman Global Ikhwan Sdn Bhd (GISBH) dan seterusnya memberi bantuan khas kebajikan serta keperluan.
Menurutnya, agensi kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa kerja (task force) yang dianggotai oleh beberapa pihak yang berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta agensi yang lain.
“Agensi-agensi yang terlibat ini akan dibantu oleh exco yang berkaitan untuk menyelaras dan memantau situasi semasa keadaan serta keperluan kanak-kanak tersebut.
“Dalam masa yang sama, kerajaan negeri melalui agensi-agnesi berkaitan termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan turut bantu daripada segi sukarelawan dan tenaga kerja.
“Dalam masa yang sama, pihak JKM akan menguruskan aktiviti-aktiviti berkaitan terapi dan program kepada mereka,” katanya.
Tambah Amirudin, pihak Yayasan Menteri Besar Incorporated (MBI) akan menyelaraskan bantuan-bantuan keperluan asas kepada kanak-kanak tersebut khususnya bayi dan juga kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU).
Sebelum itu, beliau mengadakan lawatan ke rumah perlindungan penempatan kanak-kanak GISBH yang diselamatkan dan dilaporkan seramai lebih 400 orang kini berada di rumah perlindungan dan menerima sepenuh perhatian beserta bantuan oleh agensi berkaitan seperti JKM.
“Saya berharap, JKM dan PDRM diberi ruang untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mengikut prosedur dan undang-undang yang ditetapkan.
“Anak-anak ini harus diberikan sepenuh perhatian dan bantuan kerana sudah lama diabaikan.
“Mereka adalah amanah dan tanggungjawab dari Allah SWT yang harus kita ambil berat dan memberi kasih sayang sepenuhnya kepada mereka,” jelasnya.