Sirajuddin Ketua Pengarah JAKIM Baharu

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang baharu berkuatkuasa pada 1 Oktober 2024.

Mengumumkannya hari ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pemilihan Sirajuddin yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM adalah satu usaha memperkasa lagi agensi itu.

“Pelantikan Sirajuddin adalah satu usaha memperkasa penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam seiring dengan agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan memperkukuh JAKIM sebagai jabatan peneraju hal ehwal di Islam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Sirajuddin mempunyai pengalaman sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam sebagai Penolong Pengarah (Dakwah) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 2 Januari 1992.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan JAKIM, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM dan juga sebagai Setiausaha Pertama (Halal) dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia.

Pelantikan Sirajuddin sebagai Ketua Pengarah JAKIM adalah bagi menggantikan Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, kerajaan juga telah bersetuju melantik Hakimah sebagai Penyelaras Hal Ehwal Halal yang melibatkan koordinasi antara JAKIM, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Halal Development Corporation berkuatkuasa pada 1 Oktober juga.

“Pelantikan ini adalah bagi memangkin pengurusan hal ehwal halal Malaysia yang cekap dan berkesan serta diiktiraf di seluruh dunia,” katanya.

Shamsul juga berharap dengan pelantikan ini dapat memacu JAKIM ke arah mengangkat kemuliaan Islam dan memartabatkan jabatan itu sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan ke persada global.

Anda Mungkin Berminat