Oleh: Hanim Nadia
GEORGETOWN: Kisah sedih seorang wanita yang mendakwa dirinya terpaksa menjadi perempuan simpanan bagi melangsaikan hutang bapanya dengan sindiket pinjaman wang atau along didapati hanya rekaan semata-mata.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya telah berjaya mengesan wanita tersebut dan ditemukan selamat di sebuah rumah di Seberang Perai Utara pada pukul 10.50 malam tadi.
“Hasil soal siasat, mangsa mengakui cerita tersebut hanya rekaan untuk meluahkan perasaan.
“Dia turut mengakui membuat pinjaman wang dengan beberapa syarikat pemberi pinjaman wang dan menerima ugutan kerana gagal membayar hutang.
“Ibu mangsa yang berada di kampung juga turut menerima ugutan,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Sebelum ini, tular sebuah video rakaman siaran langsung di aplikasi TikTok berdurasi selama enam minit 45 saat, yang memaparkan perbualan hos dan Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi bersama seorang pemanggil wanita.
Mangsa dikenali sebagai Isha, 26, mendakwa bapanya yang sudah bercerai dengan ibu, terdahulu berhutang sebanyak RM20,000 dengan along dan gagal melunaskannya.
Wanita itu kemudian mendakwa dipaksa bekerja dengan along terbabit sejak Februari lalu di sebuah rumah merah di Pulau Pinang sebagai perempuan simpanan tanpa diberi gaji serta mohon diselamatkan.
Mengulas lanjut, katanya, semakan mendapati hos yang mengendalikan wawancara itu turut membuat satu laporan polis berkaitan panggilan terbabit.
Hamzah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dan menyebar sesuatu di media sosial tanpa buat semakan kesahihannya.
“Orang ramai yang diganggu atau menerima ugutan daripada along juga dinasihati supaya membuat laporan polis bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.
Baca juga: