Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam sekeras-kerasnya kezaliman Israel dan menyeru untuk menghentikan serangan supaya tidak terus diancam kedaulatan negara Lebanon, Syria serta Yaman.
Menerusi satu kenyataan, hari ini, Ahli Majlis Pimpinan AMK, Nadia Nazri berkata, pencerobohan Israel itu dilihat sebagai usaha terancang yang disengajakan bagi mengalihkan tumpuan dunia daripada kekejaman dan tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
“Ini merupakan satu strategi politik untuk mengekalkan pemimpin Israel yang sedang berdepan ancaman politik dan undang-undang tanpa mengambil kira ribuan nyawa yang tidak bersalah terkorban demi kepentingan politik peribadi,” jelasnya.
Beliau berkata, terdapat juga di kalangan pemimpin-pemimpin barat yang masih lagi menutup mata dan berdiam diri sedangkan puluhan ribu rakyat Gaza dan Tebing Barat mati dibunuh.
Pada masa yang sama, AMK turut menyokong tindakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin yang berani menyuarakan untuk menolak sebarang bentuk kezaliman.
“Malaysia masih menjelaskan pendirian dalam menolak pelbagai bentuk keganasan, pencerobohan dan pengharaman sepertimana yang dilakukan oleh Israel.
“Selain menyuarakan, Anwar juga turut menyeru pelbagai pihak yang terlibat untuk segera mengurangkan permusuhan supaya dapat mencegah konflik tersebut daripada menjadi lebih luas,” katanya.
Sejajar dengan sokongan tersebut, Nadia turut memberi sokongan padu kepada cadangan yang dibuat oleh Menteri Luar Negeri Malaysia untuk menubuhkan semula Jawatankuasa Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Menentang Apartheid yang diusulkan dalam Perbahasan Umum Perhimpunan Agung PBB.
“Jawatankuasa Khas ini sewajarnya memainkan peranan penting dalam usaha global baharu untuk memerangi ketidakadilan dan menegakkan keadilan, khususnya hak rakyat Palestin untuk hidup bebas dari penindasan,” tambahnya.