Fadhlina Kongsi Amalan Pendidikan Malaysia di Oman

Oleh: Shafira Aziz

OMAN: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Menteri Pendidikan anjuran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (ICESCO) di sini.

Persidangan yang berlangsung pada 2 hingga 3 Oktober itu melibatkan penyertaan 27 negara anggota ICESCO dengan tujuan memperkukuh pendidikan melalui perkongsian amalan terbaik.

Selain Malaysia, persidangan tersebut turut dihadiri negara anggota lain termasuk Indonesia, Brunei dan Yaman.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Fadhlina menyampaikan kenyataan yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti sebagai asas kepada pembangunan lestari dalam persidangan itu.

“Kita perlu memastikan pendidikan tidak hanya melahirkan generasi yang berpengetahuan, tetapi juga yang berdaya saing dalam era digital ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut akan berkongsi pengalaman Malaysia memperkasakan pendidikan digital dan kecerdasan buatan (AI) sebagai langkah penting ke arah pembaharuan pendidikan.

Selain itu, Fadhlina dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah ICESCO, Dr Salem Mohammed Al-Malik dan ketua perwakilan negara anggota untuk memperkukuh kerjasama di bawah inisiatif ICESCO dan UNESCO.

Langkah tersebut dilihat penting dalam merapatkan hubungan antarabangsa dalam bidang pendidikan.

“Kerjasama ini membuka peluang untuk Malaysia memperkukuh penglibatan dalam pelbagai inisiatif pendidikan global,” tambahnya.