LEBIH 180 peluru berpandu balistik dilancarkan Iran ke arah Israel sebagai tindak balas kepada kekejaman Zionis melakukan pembunuhan dan jenayah terhadap Lubnan dan Palestin.
Lapor media tempatan, Iran menerusi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) memaklumkan, serangan pada Selasa itu adalah tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah dan kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
IRGC juga memberi amaran kepada rejim Israel bahawa serangan akan lebih hebat akan dilakukan ke atas bandar Tel Aviv, Jerusalem dan Haifa jika mereka menyerang balas.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkan serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel sebagai kesilapan besar.
Justeru, beliau berkata, pihaknya berikrar untuk memaksa Tehran membayar semula.
“Iran melakukan kesilapan besar malam ini dan perlu membayar untuknya,” katanya selepas serangan itu sambil memberi amaran akan membalas serangan sekiranya ada pihak menyerangnya.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan menghantar lebih banyak tentera dan pesawat perang ke Timur Tengah untuk menyokong Israel.