KKM Tubuh Pasukan Khas Siasat Kematian Pakar Perubatan

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat insiden kes kematian seorang Pakar Perubatan Patologi di Lahad Datu berkuat kuasa 10 Oktober ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzukefly Ahmad berkata, pasukan tersebut akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah yang berpengalaman dalam perkhidmatan awam dan dibantu lima ahli bebas bukan anggota KKM.

“Pasukan ini diberi tugas untuk menyiasat dan menganalisis input daripada kematian pakar patologi kimia serta budaya kerja di hospital berkenaan.

“Mereka juga dikehendaki mengenal pasti dan mengesahkan sama ada wujud perlakuan buli di Hospital Lahad Datu secara umum dan di jabatan patologi secara khusus.

“Selain itu, mengenal pasti jenis perlakuan buli yang cenderung berlaku di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta faktor dalaman dan luaran yang menyumbang kepada perlakuan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor itu lagi, pasukan berkenaan turut diberi tugas menyediakan laporan cadangan penambahbaikan bagi mencegah dan menangani perlakuan buli di fasiliti kesihatan dalam masa tiga bulan dari tarikh penubuhan.

Menurut makluman kematian yang dikeluarkan oleh Hospital Lahad Datu, Dr Tay Tien Yaa meninggal dunia pada 29 Ogos.

Adiknya dalam satu hantaran di Facebook mendakwa, Tay melapor diri di hospital berkenaan pada Februari lalu meninggal dunia akibat tekanan dan menjadi mangsa buli.

Justeru itu, Dzulkefly berkata, KKM memang tidak bertolak ansur sama sekali dengan perlakuan buli di tempat kerja.

“KKM komited untuk memperbaiki persekitaran kerja supaya lebih harmoni dan kondusif.

“Kami yakin usaha ini akan membuahkan hasil dan mendapat kerjasama daripada semua warga KKM selaras dengan visi untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk Malaysia MADANI,” katanya

Lima anggota pasukan petugas khas tersebut ialah Profesor Dr Siti Hamisah Tapsir yang merupakan mantan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Azman Abu Bakar (bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) dan berpengalaman 35 tahun bersama KKM) dan Mohamad Fazin Mahmud (bekas pegawai kehakiman dan penasihat undang-undang pelbagai kementerian termasuk KKM).

Dua lagi ialah Profesor Dr Looi Lai Meng (profesor ulung pertama di Malaysia dalam bidang patologi dan kini menjadi perunding kanan Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Profesor Dr Chan Lai Fong (pakar perunding kanan psikiatri di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia).

Anda Mungkin Berminat