Lubnan: Wisma Putra dalam proses bawa pulang 15 rakyat Malaysia

PUTRAJAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang berterusan melancarkan serangan ketenteraan melalui serangan udara dan darat terhadap Lubnan.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata kekejaman rejim Zionis Israel itu secara jelas telah melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa yang mengancam keselamatan, kestabilan serta kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan.

“Malaysia bersolidariti bersama Lubnan dan masyarakat antarabangsa untuk mendesak rejim Zionis Israel melaksanakan gencatan senjata segera bagi mengelakkan bencana kemanusiaan yang lebih dahsyat di Lubnan.

“Penting bagi semua pihak untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau tersebut,” kata kenyataan itu yang dikongsikan di Facebook pada Rabu.

Menjelaskan situasi rakyat Malaysia di negara itu, Wisma Putra menjelaskan bahawa sembilan rakyat Malaysia telah meninggalkan Lubnan secara sukarela.

“Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beirut, sedang di dalam persediaan evakuasi 15 lagi rakyat Malaysia bersama tiga warganegara asing yang merupakan pasangan kepada rakyat Malaysia yang masih berada di Lubnan.

“Manakala, empat rakyat Malaysia memilih untuk terus kekal di Lubnan,” katanya.

Sementara itu, empat pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beirut akan meneruskan operasi di Lubnan sehingga dimaklumkan kelak.

Jenayah perang di Lubnan semakin meruncing kerana Israel terus-terusan menyerang negara itu dan mengorbankan hampir 2,000 rakyat Lubnan.