Pelajar Sekolah Maut Terjatuh Dari Tingkat Lapan

Oleh: Hanim Nadia

KUALA LUMPUR: Seorang remaja berusia 13 tahun maut setelah terjatuh dari tingkat lapan bangunan sekolah kira-kira pukul 6 petang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menerima makluman orang awam mengenai insiden itu pada pukul 6.59 petang, hari kejadian.

Katanya, bertindak atas maklumat itu sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pihak polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan dipercayai mangsa seorang pelajar perempuan telah jatuh dari tingkat lapan bangunan sekolah tersebut dan disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Ku Mashariman, mayat mangsa telah dirujuk ke Bahagian Forensik dan Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematiannya.

Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah di dalam kes kematian pelajar tersebut.

“Kes kematian ini telah diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

“Justeru itu, pihak polis menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran orang awam dan menghentikan penularan kejadian ini di media sosial.

“Orang awam yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” ujar beliau.

Sementara itu, pihak Sekolah Tinggi Kuen Cheng mengesahkan kejadian yang menimpa pelajar mereka dalam satu kenyataan rasmi di laman webnya pada hari yang sama.

Pihak sekolah berkata, langkah kecemasan segera telah diambil dan pihak berkuasa telah dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.

Kenyataan itu berkata, pihak kaunselor sekolah akan menawarkan sokongan kepada pelajar yang terjejas kerana insiden tersebut.

Pihak sekolah juga menggesa agar tidak berkongsi maklumat yang tidak disahkan di media sosial dan meminta privasi untuk keluarga dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan berterusan ke atas kematian pelajar itu.

Ia bagaimanapun tidak mengulas mengenai kesahihan video yang beredar atau memberikan butiran kejadian.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat