Azmin Punca Kekalahan PN di Mahkota, Itu Pandangan Peribadi – ARMADA

Oleh: Hanim Nadia

KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merupakan punca kepada kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota baru-baru ini bukan pendirian parti itu.

Pengerusi Tetap Pemuda Parti Pribumi BERSATU Malaysia (ARMADA), Zahin Zainal berkata, dakwaan itu disifatkan hanya sebagai pandangan peribadi oleh sumber dalaman seperti yang dilaporkan media, hari ini.

“Itu pandangan yang menulis, itu pandangan peribadi. Kita (ARMADA) sayap parti yang turun ke bawah, bekerja habis-habisan bukan sekadar dua minggu tetapi sebulan berada di Johor telah beri komitmen yang baik.

“Akhirnya itu keputusan pengundi sendiri. Menyalahkan individu dalam perkara ini, itu keputusan peribadi dan pandangan peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ARMADA mengenai beberapa isu berbangkit antaranya status siasatan kes penyelewengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Menteri Sumber Manusia, Sivakumar dan status siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terhadap dakwaan gangguan seksual Datuk Profesor Mohammad Agus Yusoff.

Terdahulu, Free Malaysia Today melaporkan dua pemimpin PN mendakwa Azmin telah menyumbang kepada kekalahan gabungan itu dalam PRK DUN Mahkota baru-baru ini.

Seorang pemimpin BERSATU yang enggan dinamakan berkata, Azmin tidak melakukan tugasnya dengan baik dalam menggemblengkan jentera gabungan itu.

Malah, katanya lagi, satu lagi kesilapan dilakukan Azmin yang juga Ketua Penerangan PN, adalah apabila bergantung kepada orangnya sendiri merujuk kepada ahli BERSATU yang sehaluan dengannya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kekalahan PN dalam dua siri PRK iaitu Nenggiri dan Mahkota, Zahin enggan mengulas lanjut mengenainya dan berpendapat bahawa perkara itu lebih baik disampaikan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.

Pada PRK Nenggiri, PN tewas kepada Barisan Nasional (BN) dengan mendapat 5,741 undi manakala BN memperoleh 9,112 undi dengan majoriti 3,372 undi.

Di Mahkota pada 28 September lalu, PN yang mempertaruhkan calon daripada BERSATU, Mohamad Haizan Jaafar hanya meraih 7,347 undi yang mana ditinggalkan jauh oleh pesaingnya, Syed Hussien Syed Abdullah daripada BN, (27,995 undi).

Anda Mungkin Berminat