Oleh: Haikal Tajuddin
RATU Rock Malaysia, Ella, tidak melepaskan peluang untuk membuat persembahan ‘AFTER RACE FEST’ dibawah anjuran Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP), 3 November nanti.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan oleh MotoGP, persembahan tersebut bersempena dengan ulang tahun ke-25 Petronas Sepang International Circuit (SIC) yang bakal berlangsung pada pukul 4 petang sehingga 12 malam.
Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, 58, akan mempersembahkan lagu kebangsaan, Negaraku sebagai pembuka kepada persembahan tersebut.
Menariknya, pelantun lagu Retak itu akan berkongsi pentas bersama artis antarabangsa seperti Smash Mouth dan Macklemore serta barisan artis Malaysia dan Indonesia bagi memeriahkan lagi festival tersebut.
“Menjadi sebuah penghormatan untuk saya diberikan tanggungjawab menyanyikan lagu Negaraku pada acara MotoGP kelak.
“Selepas itu, saya akan berkongsi pentas bersama Smash Mouth dan Macklemore bersama artis-artis Malaysia serta Indonesia yang lain. Jadi, jangan lupa untuk temui saya di After Race Fest nanti,” ujar Ella.
Pengarah Urusan HiFive Entertainment, Sean Pereira berkata, terdapat juga acara lain yang turut diadakan seperti pertunjukkan drone dan persembahan bunga api sebagai signifikan penganjuran acara yang sangat berjaya.
“Oleh hal demikian, kami dari HiFive Entertainment dengan bangga menganjurkan AFTER RACE FEST bukan semata-mata bersifat hiburan sebaliknya meraikan pengunjung dari seluruh dunia ke MotoGP,” jelasnya.
Sebagai info, AFTER RACE FEST bakal diadakan di lokasi terbaik iaitu Helipad, Petronas Sepang International Circuit pada 3 November 2024 dan tiket boleh didapati dengan harga RM550 dengan menggunakan kod promo PayLater menerusi aplikasi Grab.
Baca juga: