PETALING JAYA: Baru-baru ini, tular sebuah video yang memaparkan fasilitator Minggu Destinasi Siswa (MDS) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat yang terlibat dalam pergaduhan secara tiba-tiba semasa sesi orientasi.
Difahamkan, sangkaan bahawa pergaduhan betul-betul terjadi yang kemudian didedahkan sebagai gimik untuk menyambut hari jadi salah seorang fasilitator telah menerima kritikan hebat daripada netizen.
Ramai berpendapat tindakan tersebut adalah tidak sesuai dan tidak menunjukkan contoh yang baik kepada mahasiswa baru.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar UiTM (PIMPIN), Abang Mohd Hafizie tampil menjelaskan bahawa insiden yang tular itu hanyalah selingan dan bukan sebahagian daripada pengisian utama program orientasi tersebut.
“Ini bukan pengisian utama MDS. Program ini lebih kepada memberi taklimat penting seperti pendaftaran subjek dan memperkenalkan pelajar kepada bahagian utama universiti, termasuk Canselor dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Akademik,” katanya.
Menurutnya, MDS bertujuan untuk memudahkan urusan pendaftaran dan memperkenalkan sistem universiti kepada pelajar baru dan bukan sekadar berhibur semata-mata.
Tambah Abang Mohd Hafizie, kejadian yang tular itu sekadar untuk memberi fasilitator dan pelajar sedikit ruang berehat sebelum sesi seterusnya dan tidak sepatutnya dijadikan isu besar.
“Yang viral ini hanyalah selingan untuk beri masa rehat sebelum pelajar meneruskan sesi penting seterusnya.
“Setiap universiti mempunyai cara dan pengalaman berbeza, jadi tidak adil untuk membuat perbandingan, senang kata, lain padang lain belalang,” jelasnya.
Dengan lebih 55,000 mahasiswa baru mendaftar masuk ke 32 kampus UiTM di seluruh negara, Pemimpin Mahasiswa (PM) terpaksa berkorban masa dan cuti mereka bagi memastikan segala urusan orientasi dan pendaftaran pelajar baharu berjalan lancar.
Beliau juga percaya bahawa MDS di masa hadapan mungkin boleh ditambah baik dan disesuaikan dengan perkembangan semasa bagi memberi impak yang lebih baik kepada mahasiswa baru.