Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Rentetan penindasan dan kezaliman tentera Israel ketika ini, Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru seluruh umat Islam untuk mengadakan Solat Hajat bagi mendoakan kesejahteraan masyarakat di Timur Tengah khususnya di Gaza, Lubnan dan wilayah sekitarnya.
Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya, berkata situasi penduduk di negara Timur Tengah sejak kebelakangan ini dilihat semakin meruncing dengan pelbagai bentuk kezaliman, keganasan dan kekejaman oleh pihak Israel.
“Sejak tujuh dekad yang lalu, isu keganasan yang dibuat oleh negara haram Israel ini masih gagal dibendung, bahkan mereka semakin tegar menebas belukar ke arah merealisasikan cita-cita penubuhan Israel Raya.
“Oleh hal demikian, saya berharap umat Islam dapat menunaikan Solat Hajat dan terus bermunajat untuk mendoakan kesejahteraan masyarakat disana,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, walaupun masyarakat kini sudah mula membuka mata terhadap realiti kehidupan yang berlaku terhadap masyarakat Timur Tengah, namun zionis itu masih mendapat dukungan penuh oleh pihak sekutunya terutama di Barat.
“Saya menyeru pihak kepimpinan Dewan Ulamak di peringkat negeri mahupun kawasan di seluruh negara agar dapat mengambil ihtimam (memberi perhatian serius), seruan dan gesaan ini bagi menganjurkan Solat Hajat beserta munajat di kawasan masing-masing.
“Semoga umat Islam di seluruh belahan dunia Islam khususnya di Gaza dan Timur Tengah dikurniakan kekuatan untuk terus memegang panji Islam sehingga diberikan kemenangan oleh Allah SWT,” katanya.
Semalam, Israel dilaporkan membuat serangan udara di pusat kesihatan Beirut dan meragut lebih 1,000 nyawa.
Menerusi laporan yang dikongsikan oleh siaran TV, Al-Jadeed, tentera Israel membuat serangan itu adalah untuk memusnahkan ibu negara yang terletak di Lubnan.