Oleh: Arthur Chiong Sen Sern
ULASAN | SAYA ingin merujuk kepada kenyataan terbaru yang dibuat oleh seorang pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang mendakwa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) hanya ‘penumpang’ dalam Kerajaan Perpaduan.
Dakwaan ini adalah tidak berasas dan jauh daripada realiti sebenar. Beliau sendiri telah mengalami kekalahan dua kali dalam pilihan raya umum bagi Parlimen Pulai. Realitinya, beliau kini merupakan seorang ahli politik yang semakin hilang relevansi, bukan sahaja di Johor tetapi juga di peringkat nasional.
Kini beliau (Datuk Nur Jazlan Mohamed) memegang jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, beliau seharusnya mengekalkan sikap berkecuali dan tidak terlibat dalam polemik politik. Sebagai seorang yang memegang kedudukan penting dalam institusi perundangan, adalah wajar untuk beliau bersikap adil dan tidak memihak, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Sebagai sebahagian daripada gabungan Kerajaan Perpaduan, PKR dan AMANAH tidak hanya memainkan peranan marginal, sebaliknya, kami adalah rakan kongsi yang penting dalam menyumbang kepada kestabilan negara. Kerajaan ini dibentuk atas dasar muafakat yang menjunjung prinsip demokrasi dan kepentingan rakyat. Setiap parti, termasuk PKR dan AMANAH, memberikan sumbangan signifikan dalam perancangan dasar, pentadbiran, dan pembangunan negara.
Kerajaan Perpaduan Fokus Isu Rakyat
Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, saya dapat menyaksikan sendiri bagaimana dasar-dasar yang dirangka oleh Kerajaan Perpaduan, termasuk oleh PKR dan AMANAH, yang telah membantu meringankan beban rakyat, meningkatkan ekonomi tempatan, dan memperkukuh kebajikan sosial. Keterlibatan kami bukan sekadar mengisi ruang kosong dalam kerajaan, tetapi kami aktif menggerakkan perubahan untuk kebaikan semua rakyat Malaysia.
Kerajaan Perpaduan dibentuk atas asas untuk meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan. Tuduhan bahawa kami sekadar ‘penumpang’ adalah satu usaha untuk mengalihkan perhatian daripada realiti bahawa rakyat menolak politik lama yang berasaskan perpecahan dan perebutan kuasa. Apa yang penting bagi PKR dan AMANAH adalah memperjuangkan nasib rakyat, bukan mengejar jawatan atau kuasa semata-mata.
Cubaan Pecah Belahkan Kerajaan Perpaduan
Kenyataan seperti ini hanyalah cubaan untuk memecah-belahkan perpaduan yang sedang diusahakan. Kerajaan Perpaduan telah menunjukkan bahawa kita mampu mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan negara, dan kenyataan yang tidak berasas seperti ini tidak akan mempengaruhi usaha kami dalam memastikan kestabilan dan kemakmuran Malaysia.
Sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, beliau sepatutnya memainkan peranan yang lebih signifikan dalam mengekalkan keharmonian, bukannya menimbulkan perpecahan dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab.
Sebagai ADUN Bukit Batu dan Pengarah Strategik PKR Johor, saya ingin menegaskan bahawa kami komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan akan terus memainkan peranan penting dalam kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat menjadi keutamaan, bukan retorik politik yang tidak membawa manfaat kepada sesiapa.
Penulis merupakan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor
Baca juga: