PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan Lawatan Rasmi ke Republik Rakyat Bangladesh hari ini (Jumaat) atas jemputan Ketua Penasihat Kerajaan Interim Bangladesh, Dr Muhammad Yunus yang juga tokoh hadiah Nobel pada tahun 2006.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz; Timbalan Menteri Pegangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Hasan.
Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan Ketua Penasihat Kerajaan Interim Bangladesh bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia dan Bangladesh serta memperkukuhkan lagi persahabatan antara kedua-dua negara.
Anwar juga dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Rakyat Bangladesh, TYT Mohammed Shahabuddin sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.
Pada tahun 2023, terdapat seramai 6,288 pelajar Bangladesh yang menuntut di institusi pengajian tinggi Malaysia dalam pelbagai bidang pengajian. Pekerja Bangladesh juga telah sekian lama menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
Pada tahun yang sama, Bangladesh merupakan rakan dagang ke-27 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-19 terbesar dan sumber import ke-47 dan juga merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di antara negara Asia Selatan.
Pada tahun 2023 juga, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Bangladesh berjumlah RM12.7 bilion (USD2.78 bilion), iaitu penurunan sebanyak 35.5 peratus berjumlah RM19.69 bilion (USD4.46 bilion) pada tahun 2022.
Pada enam bulan pertama 2024, jumlah perdagangan telah meningkat kepada 18.1 peratus iaitu sebanyak RM8.27 bilion (USD1.75 bilion) berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023. Imbangan dagangan yang memihak kepada Malaysia juga meningkat dalam tempoh yang sama kepada RM6.65 bilion (USD1.39 bilion).
Baca juga: