Oleh: Haikal Tajuddin
KUCHING: Penguatkuasa terlibat Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) menjalankan tugas hari ini.
Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Negeri Sarawak, Sabri Sahari, berkata seramai 18 pegawai penguatkuasa daripada Seksyen Inspektorat Perundangan (SIP), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dan Pejabat Kesihatan yang terlibat dalam operasi tersebut.
Operasi ini telah menyasarkan kedai khas, kedai serbaneka, kedai runcit dan premis makanan supaya mereka lebih peka terhadap akta yang baru ini.
“Hari ini, kami hanya menjalankan operasi penguatkuasaan di setiap kedai sekitar kawasan Metrocity Matang.
“Sasaran operasi kami pada hari juga tertumpu ke kedai-kedai khas yang terdiri daripada vape, cerut, dan rokok, diikuti dengan kedai serbaneka iaitu 7E, KK Mart dan RA Mart.
“Tidak lupa juga, kedai runcit dan premis-premis makanan turut menjadi sasaran utama kami,” jelasnya.
Katanya, tujuan operasi itu dijalankan adalah untuk menerangkan Akta 852 kepada premis-premis yang berkaitan terhadap tindakan yang dikenakan sejajarkan perkara yang termaktub di dalam akta tersebut.
Sebagai info, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah diwartakan pada 2 Februari lalu serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya bermula 1 Oktober lalu.
Ia dilakukan susulan daripada pandangan serius oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap amalan merokok termasuk aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika disasarkan kepada golongan kanak-kanak dan remaja.