Oleh: Haikal Tajuddin
KUALA LUMPUR: Golongan belia disasarkan sebagai peneraju utama ekonomi Malaysia dengan lonjakan pelabur-pelabur asing ke Malaysia ketika ini.
Setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata kehadiran golongan itu merupakan peluang terbaik buat belia untuk turut sertai dalam industri perdagangan antarabangsa.
“Pada hari ini, kita melihat, berduyun-duyun pelabur asing mula melabur di Malaysia dan ini terjadi kerana mereka memiliki kepercayaan yang tinggi kepada negara kita.
“Pada hari ini juga, syarikat gergasi yang terbesar iaitu Oracle turut menyumbang pelaburan yang sangat tinggi sebanyak RM6.9 bilion.
“Namun, perkara ini tidak akan bergerak tanpa bantuan golongan muda. Dengan adanya pelaburan besaran-besaran ini, sememangnya tenaga mahir dari golongan muda sangat diperlukan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Anak Muda Wilayah Persekutuan 2024 (KAMWIP 2.0) di Institusi Latihan DBKL pada Sabtu.

Bagaimanapun dakwanya, golongan belia hari ini lebih selesa mengambil jalan mudah tanpa berfikir tentang masa depan sendiri.
“Anak muda zaman sekarang dilihat lebih tidak memiliki daya tahan yang tinggi. Mereka lebih selesa mengambil jalan mudah dengan menjadi ‘rider’ tanpa memikirkan kesan dalam jangka masa yang panjang.
“Kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bukan sahaja berfokus kepada negara dan bangsa malah ekonomi negara.
“Oleh itu, golongan anak muda yang celik IT sangat diperlukan bagi bantu menjayakan misi ini. Kalau anak muda tidak ambil peluang yang diberikan ini, maka itu salah diri sendiri,” katanya lagi.
Beliau mengharapkan bahawa, konvensyen yang diadakan ini juga bukan sahaja mendedahkan maksud sebenar usahawan namun menarik golongan belia untuk terus mula mencuburi bidang perniagaan sejajar misi kerajaan Madani.