PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar hari ini menegaskan kepentingan menghormati sensitiviti agama terutamanya agama Islam dalam penganjuran acara umum.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan kontroversi melibatkan pelancong berpakaian songsang semasa acara larian di Kota Tinggi, Johor yang berlangsung pada Sabtu.
Beliau merujuk kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz yang mengesahkan bahawa acara tersebut tidak dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Johor mahupun agensi kerajaan negeri.
Menurut Mohd Na’im, sebarang acara yang boleh menimbulkan polemik dan menyentuh sensitiviti agama perlu dielakkan sama sekali untuk mengelakkan ketegangan dalam masyarakat.
“Kita semua harus sedar akan kepentingan menjaga sensitiviti agama, terutamanya dalam negara yang mempunyai pelbagai kaum dan agama.
“Acara yang boleh menggugat kedaulatan agama Islam atau mencetuskan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam tidak sepatutnya diadakan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa mana-mana pihak yang menganjurkan acara umum perlu lebih berhati-hati dalam memastikan nilai-nilai agama dan budaya tempatan dihormati.
Katanya, tindakan menganjurkan acara yang boleh menyinggung perasaan masyarakat bukan sahaja tidak wajar, malah berpotensi menjejaskan keharmonian negara.
“Perpaduan kita bergantung kepada rasa hormat dan kefahaman terhadap sensitiviti agama masing-masing.
“Semua pihak harus memikul tanggungjawab ini dengan penuh kesedaran, supaya keamanan dan keharmonian dalam negara terus terpelihara,” tambah beliau.
Beliau menyeru semua pihak untuk memberikan kepercayaan kepada pihak berkuasa dalam menangani isu ini secara adil dan profesional.
Terdahulu tular di Facebook group komuniti Khas Penduduk Kota Tinggi perkongsian video dan gambar-gambar acara larian yang disertai pelancong-pelancong dari luar negara yang berpakaian tidak senonoh dan seolah-olah mempromosi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Bagaimanapun, pihak polis telah menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing bagi membantu siasatan susulan kes berpakaian tidak senonoh ketika menyertai program larian antarabangsa Pan Asia 2024 di Bandar Penawar semalam.
Baca juga: