Lebih 2,700 Sekolah Agama Belum Terima Peruntukan Kerajaan – JAKIM

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan lebih 2,700 Institusi Pendidikan Islam (IPI), termasuk sekolah agama, masih belum menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan di bawah inisiatif Bantuan Selenggara dan Naik Taraf (SNT).

Peruntukan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menaik taraf institusi pendidikan agama di seluruh negara, namun ia bukan pemberian tetap tahunan.

Sebaliknya, JAKIM berkata, dana tersebut disalurkan berdasarkan permohonan daripada IPI yang berdaftar melalui pemegang taruh negeri.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, JAKIM menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah gagal menyalurkan peruntukan kepada institusi yang mengemukakan permohonan.

Menurutnya, proses pengesahan keperluan naik taraf dijalankan dengan kerjasama pemegang taruh di setiap negeri.

“Peruntukan akan disalurkan terus ke dalam akaun institusi yang memohon bagi mengelakkan karenah birokrasi dan memastikan kelancaran projek pembangunan,” jelasnya.

Walaupun kerajaan komited untuk membantu institusi pendidikan Islam yang memerlukan, JAKIM mengakui terdapat beberapa institusi yang masih belum menerima peruntukan kerana proses permohonan yang sedang berlangsung.

Sebelum ini, JAKIM mengesahkan bahawa hanya 874 Sekolah Agama Rakyat (SAR) telah menerima peruntukan sebanyak RM5.36 juta daripada Kementerian Kewangan.

Isu ini mendapat perhatian selepas Presiden Parti BERJASA, Zamani Ibrahim, mengkritik kelewatan dalam agihan peruntukan kepada sekolah-sekolah agama, terutama yang diperuntukkan di bawah Belanjawan 2024.

Zamani mempersoalkan bagaimana daripada peruntukan RM150 juta yang dijanjikan untuk SAR dan maahad tahfiz, hanya RM50 juta telah diterima oleh 874 institusi yang terlibat setakat ini.

Ini menimbulkan kebimbangan mengenai institusi lain yang masih menunggu dana yang diperlukan bagi menjalankan operasi dan pembangunan.

Baca juga: