Perpaduan semua kaum jadi prasyarat bangunkan ekonomi mampan – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ucapan di Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Antarabangsa 1446H / 2024 (MTHQA) kali ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam tadi menegaskan, semangat perpaduan yang kental dalam kalangan rakyat, selain persefahaman dan pendamaian di antara kaum Islam serta bukan Islam, menjadi prasyarat dalam usaha membangunkan sebuah ekonomi mampan.

“Supaya kemampanan kita itu akan memberi pengertian yang berbeda, bukan setakat ekonomi kukuh, tetapi memberi keselesaan dan jaminan kepada rakyat, terutama rakyat miskin, bandar, desa dan pedalaman serta masyarakat lain yang merasakan diri mereka terpinggir.

“Saya mohon kebijaksanaan supaya negara Madani ini mengerti, kerana tidak banyak negara yang punyai ruang dan kesempatan dalam kerukunan hidup damai, yang meletakkan asas ekonomi kukuh, serta kini telah mendapat perhatian pelbagai bidang,” katanya.

Pada ucapannya Anwar juga menegaskan, perlu dipastikan agar umat Islam di negara ini untuk mempunyai kemampuan dan peluang menjadi tenaga penggerak dalam meneroka bidang yang dahulu dilihat sebagai asing.

Pemikiran yang jumud dan langkah yang gopoh selain tidak bijaksana hanya akan menjadi hambatan serta cabaran kepada usaha tersebut.

“Kita mahu umat Islam terus meneroka dalam bidang-bidang baharu yang dahulu asing dari kita. Sebab itu Maahad Tahfiz mencecah, yang rasmi dan tak rasmi, sudah hampir 200,000 pelajar itu dipastikan punyai kemampuan dan peluang untuk menjadi tenaga penggerak dengan kekuatan akhlak serta nilai mereka.

“Kemudian ditambah dengan kegiatan keupayaan teknikal dan profesional, dalam bidang tenaga, digital, kecerdasan buatan (AI), kerana ini akan menentukan kekuatan kita, kini dan masa depan,” tegasnya.

MTHQA kali ke-64 berlangsung selama 8 hari hingga 12 Oktober 2024 melibatkan seramai 92 orang peserta keseluruhannya dari 71 buah negara.

Malaysia kali ini diwakili empat orang peserta iaitu Mohamad Husaini Mahmur dari Negeri Sembilan Nor Hidayah Abd Rahman dari Terengganu untuk kategori Tilawah; dan Muhammad Rifae’i Mat Zuki dari Kedah serta Putri Aminah Mohd Hanif dari Kelantan untuk kategori Hafazan.