Oleh: Syahirah Harish
KAJANG: Kerjasama yang terjalin antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Program Tekad Reformasi Pendidikan bertujuan agar pendidikan yang ada tidak terperangkap dalam satu kapsul masa.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebaliknya program ini perlu menekankan pembaharuan dan transformasi pendidikan secara berterusan.
“… reformasi pendidikan tidak boleh terperangkap dalam satu kapsul masa, tetapi harus menjadi proses dinamik untuk membantu generasi muda menghadapi cabaran dan keperluan masa depan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian di Program Tekad Reformasi Pendidikan di Dewan Sri Cempaka, Saujana Impian, Kajang.
Beliau menegaskan bahawa reformasi pendidikan mesti selaras dengan Pelan Strategik Pendidikan Kebangsaan dan tidak boleh bergerak dalam silo.
“Kita mesti memastikan hala tuju pendidikan kita selari dengan hasrat Malaysia untuk menjadi antara 30 ekonomi terbesar di dunia menjelang 2030,” katanya.
Amirudin turut menekankan pentingnya pendidikan prasekolah sebagai asas yang kukuh untuk perkembangan anak-anak, bermula dari usia dua hingga tiga tahun.
Pendidikan awal, katanya, harus memberi tumpuan kepada pembangunan ‘soft skills’ (kemahiran insaniah) dan literasi asas sebelum kanak-kanak memasuki pendidikan formal.
Beliau turut mengumumkan kejayaan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang telah memberikan bimbingan kepada hampir 100,000 pelajar dari golongan kurang berkemampuan.
Program ini, jelasnya, bertujuan memastikan tiada anak Selangor yang ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan berkualiti.