Setahun Genosid Gaza: Israel Bunuh Lebih 40,000 Nyawa, Apa Kesudahan?

PENGGANAS Israel telah membunuh lebih 40,000 warga Palestin di Gaza sejak 7 Oktober 2023.

Angka itu termasuk lebih 17,000 kanak-kanak terkorban.

Setiap hari, sekurang-kurangnya 53 kanak-kanak telah dibunuh dan 72 lelaki serta wanita terbunuh dalam serangan Israel… setiap hari.

Sekurang-kurangnya 10,000 hilang di bawah runtuhan, kebanyakan mereka dianggap mati.

Kini, setahun Gaza mencari perlindungan mereka. Sampai bila mereka perlu berlari menyelamatkan diri di tanah air sendiri?

Saban hari, rintihan tangisan dan kematian menghantui penduduk Palestin apabila melihat ahli keluarga, saudara, rakan-rakan syahid di hadapan mereka.

Ketua Pasukan Kecemasan Kesihatan di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Ayadil Saberkov memberikan data terkini selepas konflik antara Hamas-Israel berlarutan selama setahun.

Katanya, lebih enam peratus daripada kira-kira 2.3 juta populasi di Genting Gaza terkorban atau cedera dalam perang genosid sepanjang tempoh itu.

“Kira-kira 10,000 dipercayai masih terperangkap di bawah sisa runtuhan, sekali gus menjadikan seluruh enklaf itu seperti sebuah kubur besar,” katanya di Geneva pada Jumaat lalu.

Beliau juga memaklumkan separuh daripada 36 hospital separa beroperasi manakala hanya 43 peratus kemudahan kesihatan masih berfungsi untuk menampung kebanjiran mangsa cedera pada setiap hari.

“Paling mengejutkan, seramai 1,000 kakitangan perubatan turut menjadi korban kezaliman rejim Zionis dan situasi tersebut memberi tamparan hebat kepada sistem kesihatan di Gaza,” ujarnya.

Lebih getir, musim sejuk dijangka melanda hujung November ini menyebabkan penduduk Palestin khususnya bayi, kanak-kanak dan warga emas berdepan ancaman kesihatan.

Anda Mungkin Berminat