Wartawan Muda Dibunuh Selepas Diugut Tentera Israel

TENTERA Israel membunuh wartawan Palestin, Hassan Hamad dalam satu serangan udara ke atas rumahnya di kem pelarian Jabalia, Utara Gaza beberapa hari selepas dia diberi amaran oleh seorang pegawai Israel untuk menghentikan penggambaran di Gaza.

Menurut pejabat media kerajaan Gaza, dengan kematian wartawan berusia 19 tahun itu menjadikan jumlah wartawan Palestin yang terbunuh sejak perang bermula pada 7 Oktober tahun lalu telah meningkat kepada 175 orang.

Lapor Al Jazeera, Hassan banyak menyumbang hasil karyanya untuk siaran di agensi berita itu dan rangkaian saluran berita lain.

Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) menyatakan sekurang-kurangnya 128 wartawan dan pekerja media adalah antara lebih 41,000 orang yang terbunuh sejak Israel melancarkan perang yang dahsyat ke atas Gaza pada Oktober 2023.

Rakan-rakan dan pejabat media kerajaan di Gaza mengesahkan kematian Hassan dengan memberitahu, rumah wartawan itu sengaja diserang untuk memastikan dia berdiam diri selepas menerima ancaman.

Sejak lebih setahun lalu, Hassan telah mendokumentasikan perang Israel di Gaza dan bekerja sebagai wartawan TV bebas.

Menurut wartawan Palestin, Maha Hussaini, beberapa hari sebelum kematian Hassan, mangsa telah diancam oleh seorang pegawai Israel melalui mesej WhatsApp dan beberapa panggilan mengarahkan dia untuk berhenti merakamkan visual di Gaza.

“‘Dengar sini, jika kamu terus menyebarkan pembohongan tentang Israel, kami akan datang untuk kamu seterusnya dan menjadikan keluarga kamu …. Ini adalah amaran terakhir kamu’…” ciap Maha Hussaini di akaun X yang berkongsi mesej yang diterima oleh Hassan.

Anda Mungkin Berminat