PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri sidang-sidang kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) bersama tujuh rakan dialog iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea, Amerika Syarikat dan Kanada.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra, Anwar yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 akan turut menghadiri sidang-sidang kemuncak berkaitan yang dijadual berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober ini di Vientiane, Laos.
“Ini termasuk Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Selain itu, Perdana Menteri akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia, sesi-sesi sua muka antara pemimpin-pemimpin ASEAN dengan wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (ASEAN Inter-Parliamentary Assembly – AIPA), wakil-wakil belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN Business Advisory Council – ABAC),” katanya.
Menurutnya, sidang-sidang kemuncak yang berkenaan memberi peluang buat Malaysia bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu termasuk berkongsi perspektif negara secara aktif.
“Antaranya usaha pembangunan komuniti ASEAN dan Visi Komuniti ASEAN 2045, keamanan dan kestabilan rantau, integrasi ekonomi serantau, ekonomi hijau, teknologi baru dan baru muncul, peralihan tenaga, keterjaminan makanan dan proses ke arah keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN, dan hubungan ASEAN dengan rakan-rakan luar.
“Malaysia juga akan menyatakan kedudukannya berkaitan isu Laut China Selatan dan perkembangan di Myanmar, Palestin dan Timur Tengah,” jelasnya.
Dalam pada itu, penglibatan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta sidang-sidang kemuncak berkaitan menzahirkan komitmen teguh Malaysia terhadap ASEAN untuk meningkatkan kerjasama dan integrasi serantau.
Justeru itu, semasa Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta sidang-sidang kemuncak berkaitan Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.
Baca juga: