Hudud: Keutamaan Kerajaan ialah keamanan dan keselamatan rakyat

SHAH ALAM: Kerajaan Madani menerusi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited mengukuhkan institusi perundangan dan kehakiman syariah.

Kesemuanya menjadi tumpuan utama dalam Pelan Transformasi Al-Falah bagi tempoh 2023 hingga 2027.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, usaha ini merangkumi penggubalan, penyemakan, dan pindaan undang-undang syariah, penstrukturan semula Mahkamah Syariah serta penyediaan latihan komprehensif untuk meningkatkan kompetensi hakim dan pegawai di Mahkamah Syariah.

Menurutnya, hal-hal berkaitan pendakwaan syariah, penguatkuasaan undang-undang syariah, dan guaman syarie juga akan diperkuat terlebih dahulu bagi memperkasa sistem kehakiman syariah secara keseluruhan.

“Segala usaha ini akan melalui proses sewajarnya, termasuk merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja sebelum dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan penuh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika wawancara bersama wartawan Mehdi Hasan yang disiarkan di portal rasmi Bernama pada Isnin.

“Perdana Menteri dengan tegas menekankan pentingnya memperkukuh perpaduan dan toleransi dalam masyarakat majmuk, selain memastikan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran,” ujarnya.

Menyentuh mengenai isu undang-undang hudud, Mohd Na’im berkata Perdana Menteri menjelaskan bahawa ia memerlukan konsensus, namun buat masa ini, keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan keamanan dan keselamatan masyarakat.

“Kenyataan Perdana Menteri berhubung perkara tersebut adalah tepat dan berdasarkan pendekatan Fiqh Al-Waqi’ (fiqh realiti) serta Fiqh Al-Awlawiyyat (keutamaan),” tambahnya.