MHO yakin cabar saman fitnah Mashitah

PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menghadapi tindakan saman fitnah yang difailkan oleh Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berikutan isu pemerdagangan manusia.

Menurut kenyataan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, sidang media tersebut menyentuh tentang keterlibatan beberapa individu rakyat Malaysia dengan syarikat Dongmei Group, yang dikaitkan dengan pemerdagangan manusia dan telah dilaporkan di media tempatan serta antarabangsa.

Mashitah menyatakan bahawa kenyataan MHO tersebut adalah fitnah terhadapnya dan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 September baru-baru ini.

Beliau juga memohon perintah injunksi bagi menghentikan MHO dan defendan lain, termasuk Datuk Hishamuddin dan Azirul Syafiq, daripada membuat sebarang kenyataan lanjut di media sosial yang berkaitan dengan isu ini.

Mahkamah telah mendengar permohonan injunksi sementara pada 3 Oktober lalu, di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk menghentikan sebarang posting berhubung isu tersebut buat sementara waktu sehingga perbicaraan penuh dijadualkan pada 25 November depan.

Mahkamah juga menetapkan syarat-syarat untuk sementara waktu kepada MHO dan defendan lain sehingga kes selesai.

Peguam MHO, Haniff Khatri, menjelaskan bahawa injunksi interim ini tidak menjejaskan hak MHO untuk mempertahankan diri mereka dalam perbicaraan penuh yang akan datang. MHO yakin untuk mencabar tindakan saman tersebut dan bersedia membela diri mereka.

Sementara itu, MHO terus komited dalam menjalankan aktiviti kemanusiaan mereka dan menegaskan bahawa kes ini tidak akan melemahkan usaha mereka dalam memperjuangkan hak asasi manusia, khususnya dalam membantu mangsa pemerdagangan manusia di Malaysia.

Tegas MHO akan terus memberi bantuan kepada mana-mana individu yang terkesan oleh isu ini.

Anda Mungkin Berminat