Akhirnya, khemah biru Teluk Kemang disita

PORT DICKSON: Baru-baru ini tular di laman media sosial berkaitan isu monopoli tapak perkhemahan oleh peniaga sehingga menyukarkan pelancong luar untuk mendirikan khemah sendiri.

Khemah itu didirikan secara kekal oleh peniaga dan mahu atau tidak, mereka yang ingin menggunakannya perlu menyewa daripada mereka.

Terbaharu, tindakan telah dilakukan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dengan menjalankan operasi dan menyita khemah kanopi di Pantai Teluk Kemang, Negeri Sembilan.

“Pada 5 dan 6 Oktober 2024, pemantauan dan kawalan khemah biru yang dipasang tanpa kehadiran penyewa di Pantai Teluk Kemang telah dijalankan oleh anggota penguat kuasa MPPD.

“Hasil daripada pemantauan tersebut, sebanyak sembilan unit khemah (10’x10′) yang dipasang tanpa penyewa telah disita,” kata MPPD dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan oleh MPPD akan terus dilakukan dari semasa ke semasa secara berterusan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, sikap pengusaha yang tidak mematuhi peraturan mengundang masalah kepada pengunjung di pantai peranginan berkenaan.

Katanya, pengusaha sepatutnya membuka khemah sekiranya tiada permintaan pelanggan dan bukannya dibiarkan dipacak seolah-olah kawasan itu adalah tempat mereka.

Menerusi laporan media tempatan, isu khemah biru di pantai Teluk Kemang bukanlah perkara baharu dan sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu.

Anda Mungkin Berminat