Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Pengurusan banjir tidak sewajarnya dipolitikkan, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad.
Beliau tampil menyelar Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Selangor yang mendakwa kerajaan negeri lembab menyalurkan bantuan.
“Pentadbiran negeri Selangor tidak pernah mendabik dada tentang tanggungjawab dalam menguruskan banjir kerana isu bencana alam boleh berlaku kepada mana-mana pihak.
“Omongan pimpinan Pemuda PAS Selangor tentang hendak menukar pimpinan negeri ini adalah bersifat politik dan wajarlah dijawab.
“Saya konsisten bahawa eloklah mereka menukar dahulu Menteri Besar di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Semalam Perlis dilanda banjir kilat, maka eloklah Menteri Besar Perlis ditukar juga. Itu sekiranya perbandingan hendak dilakukan tentang keberkesanan pengurusan bencana di antara Selangor dengan empat negeri diatas,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.
Beliau turut menegaskan Selangor antara negeri terawal menghulurkan bantuan ketika negeri-negeri lain dilanda banjir.
Antara bantuan yang diberikan termasuk sumbangan RM1 juta kepada Kelantan pada tahun 2014 dan RM500,000 kepada Kelantan dan Terengganu pada tahun 2021 dan 2022, tidak termasuk bantuan jentera pengurusan bencana dan sukarelawan negeri Selangor.
Dalam mengulas komitmen kerajaan Selangor, Saifuddin menyatakan bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sentiasa turun padang membantu mangsa banjir, terutamanya semasa banjir besar di negeri itu pada tahun 2021.
Menjawab dakwaan kurangnya langkah mitigasi banjir, beliau menjelaskan bahawa langkah-langkah struktur seperti pembinaan ban, tembok penahan air dan terowong banjir sedang dilaksanakan.
Selain itu, Program Ramalan Amaran Banjir Negara (PRAB) juga diperkenalkan untuk meramal banjir monsun tujuh hari lebih awal, serta sistem siren amaran banjir melalui Rangkaian Stesen Hidrologi.
Saifuddin turut menegur kepimpinan PAS yang lebih campur tangan hal negeri lain berbanding apa yang dilakukan kepimpinan PAS dahulu.
“Lebih elok Pemuda PAS Selangor ambil tahu bahawa punca banjir di Ijok adalah kegagalan Projek Tebatan Banjir Sungai Buloh yang dianugerah oleh Tuan Ibrahim Tuan Man semasa menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia pada tahun 2020.
“Projek yang sepatutnya siap Disember 2024 itu baru sahaja selesai 70 peratus, sewajarnya Pemuda PAS Selangor bertanya apakah kriteria pemilihan kontraktor yang sehingga kini gagal menyelesaikan projek penting dalam masa yang ditetapkan,” katanya lagi.