Belanjawan 2025: NUTP mahu peruntukan khas pendidikan AI

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Dalam usaha memperkukuh generasi baharu, Belanjawan 2025 perlu menyediakan peruntukan khas untuk pembangunan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pendidikan. 

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata peruntukan pendidikan AI perlu dipisahkan daripada peruntukan pendidikan sedia ada bagi mengelakkan gangguan kepada belanjawan seperti yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dan 12 (RMK). 

“Jika AI diberi peruntukan khusus, kita dapat meningkatkan prasarana dan menyediakan latihan yang lebih baik kepada pelajar, termasuk mempertingkatkan kelajuan internet.

“Menggunakan peruntukan sedia ada akan memberi kesan negatif kepada program-program Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang telah dirancang,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Rabu.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan pembelajaran AI akan diperkenalkan di sekolah rendah menjelang 2027, sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan ‘AI untuk Rakyat’.

Namun, langkah ini menerima pelbagai reaksi daripada pendidik, ibu bapa, dan masyarakat yang bimbang tentang pelaksanaan kurikulum AI di peringkat sekolah.

Anda Mungkin Berminat