Oleh: Kamilia Ali
SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah mengeluarkan notis penamatan perjanjian sewaan dan mengosongkan premis di bawah program perumahan rakyat (PPR) berkuatkuasa 1 November ini kepada penyewa yang gagal melunaskan tunggakan sewa lebih RM3.3 juta.
Dalam satu kenyataan hari ini, MBS memaklumkan terdapat penyewa yang gagal mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui menyebabkan tindakan tersebut diambil.
“… pelbagai usaha telah dibuat dan surat amaran juga telah dikeluarkan. Namun terdapat sebahagian penyewa yang seolah-olah tidak menghiraukan serta tidak mengambil berat perkara ini.
“MBS telah mengambil pendekatan dengan mengadakan pertemuan dengan penyewa yang terlibat bagi melihat keadaan penyewa dan kemampuan untuk membayar tunggakan sewa berkenaan.
“Penyewa juga diminta untuk mencadangkan satu jumlah bayaran ansuran bulanan yang mampu dibayarr secara konsisten dalam tempoh enam bulan dan menandatangani persetujuan sebagai aku janji bagi perkara ini.
“Namun, berdasarkan pemantauan, masih terdapat penyewa yang gagal untuk mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui,” jelasnya pada Rabu.
Susulan itu, MBS meminta perkara ini dapat dijadikan tauladan kepada penyewa lain supaya menjelaskan bayaran tunggakan sewa kerana kadar sewa yang ditetapkan terlalu rendah iaitu sebanyak RM150 sahaja sebulan.
Untuk rekod, MBS telah menyediakan kemudahan sewaan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan kadar RM150 sebulan sebanyak 400 unit di PPR Seri Perdana Paroi dan 200 Unit di Rumah Pangsa Kos Rendah Lobak (PPRT Lobak) bagi memudahkan penyewa untuk membayar sewa.
Meskipun tempoh perjanjian sewaan sebelum ini telah berakhir pada 31 Disember 2023 dan peringatan mengenai perkara ini telah dibuat melalui surat bertarikh 3 Mei, 24 November, 11 Disember dan 26 Disember 2023, namun terdapat sebahagian penyewa yang culas membayar sewa.
Difahamkan, penyewa juga telah dimaklumkan bahawa premis sewaan berkenaan akan ditarik balik dan dikunci berkuatkuasa 1 Januari 2024 sekiranya mereka gagal menjelaskan bayaran tunggakan sewa tersebut.
Justeru, tindakan penamatan perjanjian dan mengunci rumah akan dilaksanakan sekiranya mereka tidak mematuhi aku janji dan MBS telah memberi peringatan menerusi surat bertarikh 26 Mac dan 21 Jun serta melalui panggilan telefon kepada penyewa berkenaan.