Pemimpin ASEAN ‘berkampung’ di Laos

VIENTIANE: Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 dan sidang-sidang berkaitan membuka tirai di ibu negara Laos.

Acara bermula dengan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone dan isteri menyambut kedatangan ketua-ketua negara ASEAN di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewakili Malaysia tiba di Vientiane pada malam Selasa.

Antara ketua negara ASEAN lain yang hadir termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.

Indonesia diwakili Naib Presiden Ma’ruf Amin yang mewakili Presiden Joko Widodo atau Jokowi.

Anwar dijangka menyampaikan Kenyataan Negara di Sesi Plenari Ketua Negara ASEAN selepas majlis perasmian.

Seterusnya, Anwar akan menghadiri beberapa persidangan lain yang berkaitan termasuk ASEAN Leaders’ Interface with Representative of ASEAN Inter-Parliamentary (AIPA), Mesyuarat Dua Hala bersama Perdana Menteri Timor Leste dan ASEAN Leaders’ Interface with Representatives of ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC).

Selain itu, beliau juga akan menghadiri ASEAN Leaders’ Interface with Representatives of ASEAN Youth dan Mesyuarat Dua Hala dengan Perdana Menteri Singapura.

Mengakhiri tentatif hari ini, Perdana Menteri akan menghadiri majlis makan malam anjuran Duta Besar Malaysia ke Laos di Rumah Malaysia di Vientiane.

Anda Mungkin Berminat