SERANGAN Israel di Gaza Utara lebih dahsyat tatkala lebih 400,000 rakyat Palestin terperangkap di sana.
Hal ini susulan arahan pemindahan telah dikeluarkan, namun belum dilaksana.
Memetik laporan media tempatan, AlJazeera, pertempuran yang berlanjutan ini meragut lebih 41,965 nyawa di Gaza sejak Oktober 2023, dengan 97,590 cedera. Di pihak Israel pula, serangan Hamas menyebabkan 1,139 kematian dan lebih 200 orang dijadikan tawanan.
Kumpulan Hezbollah memaklumkan, anggota pejuangnya berjaya menghalang dua serangan tentera Israel di sempadan selatan Lubnan, mencederakan tiga askar Israel.
Walaupun Israel mengeluarkan arahan evakuasi terhadap hospital di Gaza Utara, pekerja kesihatan enggan mematuhi arahan untuk meninggalkan pesakit.
Serangan udara Israel menyebabkan banyak kemudahan kesihatan mengalami kekurangan sumber. Keadaan ini memburukkan lagi krisis kemanusiaan di kawasan itu.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, membatalkan pertemuannya dengan rakan sejawat dari Amerika Syarikat, Lloyd Austin, kerana krisis yang berlanjutan ini.
Israel sedang bersiap untuk membalas serangan misil oleh Iran, yang menyebabkan ketegangan di rantau ini semakin meningkat.
Dalam pada itu, penduduk Gaza menghadapi keadaan yang semakin teruk dengan kekurangan makanan, air bersih, dan rawatan perubatan.