DUNGUN: Kira-kira 1,000 pelajar dan kakitangan UiTM Dungun menunaikan solat jenazah tiga penuntutnya yang maut dalam kemalangan malam tadi.
Pelajar tersebut Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dari Muar, Johor; Ku Adib Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor.
Jenazah kemudiannya akan dibawa ke kampung halaman masing-masing selepas selesai disolatkan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, dalam kejadian pada 7.35 malam tadi, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut manakala seorang lagi rakan mereka parah selepas dua motosikal yang dinaiki mereka dirempuh suspek yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun.
Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Amar Danish Mohammad Ridhuan, 20, dari Kuala Lumpur cedera di pinggang dan sedang dirawat di Hospital Dungun.
Dalam pada itu, suspek yang melanggar empat pelajar tersebut direman empat hari. Dia yang juga suri rumah dan mempunyai tiga anak dipercayai mengalami masalah mental.