Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: ‘Ketegangan’ antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda parti itu, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh adalah lumrah dalam politik, terutama apabila melibatkan pemimpin muda yang penuh semangat.
Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpendapat ia adat berpolitik namun dalam situasi politik hari ini, pemimpin Pemuda UMNO perlu mengawal tindak-tanduk mereka agar tidak menjejaskan keharmonian dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan.
“Ketua Pemuda UMNO perlu mendengar nasihat presiden parti kerana politik hari ini memerlukan pemahaman dan kerjasama yang lebih luas. Tidak lagi relevan untuk bersikap dominan seperti UMNO 20 atau 30 tahun lalu,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Khamis.
Dr Tawfik turut mengakui bahawa keberanian Akmal mendapat sokongan daripada exco-exco pemuda di peringkat negeri namun beliau menekankan pentingnya menjaga batas agar tidak mengguris perasaan rakan-rakan komponen.
“Nasihat tertutup adalah langkah terbaik dalam menangani situasi ini agar ia tidak berlarutan dan mencetuskan ketegangan dalaman yang lebih besar,” katanya.
Mengulas mengenai kemungkinan wujudnya masalah dalaman yang lebih serius, Tawfik menekankan bahawa jika isu tersebut tidak dikendalikan dengan bijak, ia berpotensi memberi ruang kepada parti lawan, khususnya Perikatan Nasional (PN), untuk meraih sokongan orang muda berbangsa Melayu.
“Ini akan menjadi peluang buat PN, yang dilihat sebagai platform alternatif bagi orang Melayu dan belia yang inginkan kebebasan bersuara dan perjuangan yang lebih segar,” tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan Akmal secara tegas menyatakan pendiriannya dengan menekankan, “kalau takut kena usik, jangan usik kami dulu.”
Meskipun Akmal tidak menyebut mengenai teguran presidennya itu namun dipercayai dia bertegas menegakkan pendiriannya sebelum ini.
Ia susulan daripada kenyataan Zahid yang menyatakan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu membuat sebarang permohonan maaf kepada UMNO, manakala pemimpin UMNO pula diminta menghentikan ‘serangan’.
Imbas kembali, 26 tahun yang lalu, Zahid yang pada masa itu memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO pernah mengkritik Presiden UMNO pada masa itu yang dijawat oleh Tun Dr Mahathir.
Dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO tahun 1998, Zahid mendakwa bahawa wujudnya amalan kronisme dan nepotisme di negara ini dan ramai membuat spekulasi bahawa beliau menyindir Tun Mahathir pada masa itu.
Namun, Dr Mahathir menyatakan bahawa isu tersebut tidak perlu dibangkitkan lagi kerana Zahid telah diberi penjelasan mengenainya dan isu itu dianggap selesai.