Kadar pengangguran turun 3.2 peratus pada Ogos – DOSM

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan penurunan kadar pengangguran negara kepada 3.2 peratus pada bulan Ogos 2024 berbanding 3.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ia hasil hasil pertumbuhan ekonomi yang semakin kukuh dalam pelbagai sektor seperti pelancongan, eksport dan inisiatif pekerjaan di bawah pelan induk negara.

“Pasaran buruh pada bulan Ogos terus berkembang, dengan peningkatan bilangan penduduk bekerja dan pengangguran yang semakin menurun,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut laporan tersebut, jumlah tenaga buruh terus meningkat kepada 17.22 juta orang, manakala bilangan penduduk bekerja meningkat kepada 16.66 juta orang pada Ogos 2024.

“Ini adalah petanda bahawa ekonomi Malaysia berada di landasan yang baik dan terus menyokong pertumbuhan guna tenaga,” tambahnya.

Di sebalik peningkatan itu, bilangan penganggur turut mencatatkan penurunan sebanyak 0.9 peratus kepada 558,500 orang mencerminkan kestabilan dalam pasaran kerja.

Bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun, kadar pengangguran turun kepada 10.4 peratus, manakala bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun, kadar pengangguran mencatatkan penurunan kepada 6.4 peratus.

“Penurunan kadar pengangguran dalam kalangan belia ini memberi harapan besar kepada golongan muda yang baru memasuki pasaran pekerjaan,” jelasnya.

Sektor perkhidmatan, termasuk perdagangan borong & runcit, perkhidmatan makanan & minuman, serta pengangkutan & penyimpanan terus menunjukkan peningkatan guna tenaga.

Sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian juga mencatatkan trend yang positif.

Dalam pada itu, beliau optimis bahawa pasaran buruh Malaysia akan kekal stabil sepanjang tahun, dipacu oleh dasar ekonomi yang kukuh dan inisiatif kerajaan yang menyokong pertumbuhan pekerjaan.

Anda Mungkin Berminat